"Akak, boleh Su tanyakan sesuatu?" Nasuha bertanyakan lambat-lambat.
"Ya Su, nak tanya pasal apa yer?"
Aku lihat dahinya berkerut, mungkin sedang memikirkan sesuatu atau sedang menyusun ayat untuk bertanyakan soalan yang sekian lama disimpan di benak fikirannya. Nampak wajahnya sedikit resah.
Melihatkan dirinya terdiam seketika, lantas aku ukirkan sebuah senyuman yang cukup manis agar dia merasa lega dan mampu meluahkan segala yang terbuku di hatinya itu.
"Akak..."
Kalamnya terhenti sejenak, kemudian dia menyambung.
"Sebenarnya Su malu untuk meluahkan perasaan yang Su rasa nie, juga tidak tahu bagaimana ingin mentafsirkan perasaan ini?"
"Erm...sebenarnya Su merasa sedikit cemburu dengan teman-teman serumah kita. Mereka semua telah berpunya. Tapi Su?"
Aku tatap matanya, nampak sedikit sebak.
"Apakah Su tidak layak untuk mempunyai teman seperti mereka? Su akui Su tidak cantik, tiada rupa jelita seperti Ina, tidak pandai seperti akak, tidak reti untuk bercakap macam Anis dan tiada apapun kelebihan kalau nak dibandingkan dengan semua orang..."
Aku masih lagi diam, tidak mencelah walau sedikit pun. Membiarkan Nasuha meluahkan segala-galanya yang dia rasa.
"Kawan Su cakap, kalau tak cari teman masa ni, pasti kelak Su akan susah untuk jumpa pasangan hidup. Su juga cemburu kerana mereka disayangi dan pasangan mereka begitu mengambil berat telefon tiap-tiap hari bertanyakan khabar. Lihatah Sarah dah bertunang, Kak Husna pula akan berkahwin tidak lama lagi. Betapa bahagianya mereka..."
Sekali lagi aku amati dan tatap dalam-dalam wajahnya. Cuba menilai sebatang tubuh di hadapanku. Ya, dia tidak mempunyai rupa paras yang jelita. Berkulit hitam manis dan sedikit tembam. Tidak pula berhidung mancung seperti teman-teman serumah yang lain.
Namun, dia istimewa sebenarnya. Bagi yang melihat dengan mata hati, bukan melihat dengan mata zahir. Bagi yang menilai dengan iman, pasti akan dapat melihat sinar cahaya di wajahnya.
Nasuha yang berada di hadapanku ini sangat baik orangnya. Lemah lembut dan berbudi bahasa. Dia tidak cerewet dan sikapnya sangat mesra dengan semua orang. Jarang sekali dia naik suara seperti teman serumah yang lain, Nasuha tidak mudah tension dan keluar perkataan yang tidak elok apabila berbicara. Dia sangat tenang dan suka pula tersenyum.
Paling aku sukai tentang dirinya, dia rajin solat berjemaah. Meskipun tidak seperti lelaki yang perlu ke masjid untuk solat jemaah, namun Nasuha suka sekali mengajak kami semua solat berjemaah di rumah, di ruang tamu rumah sewa kami yang kecil itu. Jika azan berbunyi, dialah yang paling awal bergegas ke bilik air lalu berwuduk untuk solat di awal waktu.
Apabila satu pertiga malam menjelang, dia tidak segan-segan untuk bangun bertahajud dan bersujud di hadapan-Nya. Lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah dan Al-Quran tidak pernah lepas di tangannya.Dibawa ke mana sahaja kitab suci yang tersimpan rapi di dalam begnya untuk ditadabbur pada waktu yang terluang.
Subhanallah!
Dia sebenarnya sangat cantik, cantik akhlak dan peribadinya namun kebanyakan lelaki tidak menyedari tentang itu. Benarlah, kebanyakan sang lelaki melihat rupa yang pertama. Walaupun berkali-kali tazkirah dan ceramah yang disampaikan oleh ustaz mahupun syeikh seringkali mengingatkan tentang hadis Nabi S.A.W bahawa agama yang paling utama dalam pemilihan calon isteri, namun wajah dan rupa juga yang menjadi ukuran terlebih dahulu. Kebanyakan lelaki, tetapi tidak semuanya begitu.
Melihatkan Nasuha tidak lagi ingin meneruskan kalamnya dan seperti menunggu pula sebuah jawapan dariku, lalu aku ukirkan kembali senyuman kepadanya sebelum ku memulakan bicara untuk memberikan sebuah jawapan yang terbaik daripada persoalannya itu.
"Nasuha..."
Aku cuba mengaturkan kalam dan bahasa yang paling lembut dan berhikmah. Ingin menyampaikan dakwah sepertimana sifat Baginda S.A.W yang begitu lemah-lembut dalam berbicara sehingga menarik hati musuh untuk memeluk Islam. Semuanya perlu berhikmah.
Melihat aku yang masih terdiam, Nasuha menyambung lagi.
"Su bimbang tiada orang yang sudi menerima Su..."
"Nasuha sayang!"
Cepat-cepat aku memotong percakapannya itu. Kali ini, biarlah aku pula yang akan menjelaskannya.
"Akak nak tanya sesuatu, boleh?"
"Kenapa abah Su pilih mak Su dulu?"
Dia lantas menjawab,"Erm, abah pilih sebab mak mengaji agama kat pondok."
"Jadi, abah tidak pilih mak kerana rupa kan? Kalau abah Su nak pilih mak sebab rupa, pastilah dia tidak perlu susah-susah cari calon kat pondok, padahal kat kampung Su sudah tentu ada ramai lagi anak dara yang lain, yang cantik-cantik. Tapi, abah tidak lihat pada rupa semata-mata kan? Tapi, sebab dia melihat pada akhlak dan peribadi mak Su yang sangat cantik sebab itulah dia tertawan."
Dia mengangguk-angguk. Cuba membenarkan kata-kataku itu.
Aku menyambung lagi.
"Su, jika mak Su pun dilamar orang dan berkahwin jua akhirnya dengan abah Su, maka Su juga insya-Allah akan temui jodoh suatu hari seperti mak Su. Yakinlah dengan Allah S.W.T. Yakinlah dengan janji-janji-Nya. Tidak perlu kita merasa susah hati dan resah menanti jodoh. Ia ada, telah tersedia tertulis di Luh Mahfuz. Kecuali jodoh itu tidak akan sampai jika kita mati terlebih dahulu menghadap-Nya."
"Nasuha sayang, mengertilah. Mereka yang bercouple tu belum tentu akan sampai jodoh di singgahsana. Jika dapat berkahwin pun, ia dibina atas dasar maksiat, jauh dari keberkatan dan keredhaan Allah. Tidak perlu kita merasa cemburu dengan mereka yang disayangi oleh makhluk tetapi kita perlu merasa cemburu dan sedih andai Pencipta makhluk tidak lagi sayang kepada kita lantaran dosa maksiat yang kita lakukan."
"Allah itu Maha Penyayang. Kita harus merasa bersyukur kerana Allah memilih kita dalam jagaan-Nya. Tidak membiarkan kita hanyut dan asyik dalam dunia cinta palsu. Inilah bukti Allah sayang kepada kita. Dia juga Maha adil. Kenapa diciptakan kita dengan rupa yang sederhana, tidak cantik jelita seperti yang lain?
Kerana Dia tidak mahu kita lalai dan tenggelam dengan kecantikan yang palsu itu, bimbang kita menyalahkan gunakan kecantikan itu untuk menarik dan meruntuhkan iman lelaki hingga sang lelaki tewas dalam hawa nasfu dan godaan sang wanita.
Nasuha mendengar dengan penuh khusyuk.
Mungkin sekarang mereka yang berpunya itu terlihat bahagia dan gembira dengan pasangan masing-masing tetapi apakah mereka melihat akibat dan kesannya selepas berumahtangga kelak?
Belum tentu mereka dapat sebahagia seperti sekarang kerana telah merasai kebahagiaan sementara itu dengan jalinan ikatan yang tidak sah, yang tidak Allah S.W.T halalkan buat mereka.
Selepas kahwin nanti, Allah S.W.T akan timpakan bermacam-macam ujian dan dugaan yang hebat sebagai balasan di atas dosa dan maksiat yang mereka lakukan sebelum bernikah.
"Cuba Su tengok dalam berita, terlalu ramai yang berkahwin awal kemudian bercerai-berai dan mereka curang sesama sendiri. Di mana keberkatan dalam rumahtangga tersebut? Sudah hilang dimakan oleh dosa noda yang tangan-tangan mereka sendiri lakukan sebenarnya."
Aku menarik nafas. Rasa macam sudah panjang tazkirah ini. Bimbang Nasuha jadi semakin pening pula jika terlalu panjang. Lalu aku ingin simpulkan dengan simpulan yang mudah agar dia memahami maksud sebenar yang ku ingin sampaikan padanya.
"Nasuha...yakinlah dengan Allah. Bukan yakin dengan kata-kata akak tetapi yakinlah dengan janji-janji-Nya. Perempuan yang baik disediakan untuk lelaki yang baik, begitu juga sebaliknya. Sesungguhnya jodoh Nasuha sudah ada dan sudah tersedia, cuma sekarang dia tak nampak di mata kerana Allah masih menyembunyikannya."
"Allah sembunyikan?" Dia bertanya dengan suara perlahan.
"Ya. Sekarang Allah sembunyikannya. Bila sampai saat dan waktunya nanti, dia akan datang, memperlihatkan dirinya pada Su dan melamar Su dengan penuh salam penghormatan kerana terlalu hormatkan maruah dan peribadi yang Su miliki. Kerana mengagumi ketinggian agama yang Su pegangi."
"Sementara menunggu cinta suci itu datang dan memilikinya suatu hari nanti, sekarang Su perlu lebih mempersiapkan diri. Harumkan akhlak dan peribadi. Dekatilah Ilahi, pasti kita tidak akan rugi. Jadilah hamba-Nya yang terbaik meskipun pangkat solehah itu sangat sukar untuk diperoleh."
"Tetapi kita haruslah sentiasa mencuba berusaha mengubah diri ke arah lebih baik. Sesungguhnya sang soleh sentiasa akan mengintai-intai sang solehah untuk dijadikan bidadari dalam hidupnya untuk dibawa pula terbang abadi hingga syurga-Nya..."
Aku lihat Nasuha kembali tersenyum. Makin melebar pula senyumannya apabila mendengar ayat terakhir yang keluar dari mulutku. Aku juga turut tersenyum dan bersyukur kerana dia sudah jelas kesemuanya.
Allah...seperti skrip yang sudah ditaip-taip pula tatkala aku mengeluarkan setiap patah kata, padahal aku sendiri tidak pernah terlintas untuk berucap seperti itu sebenarnya. DIA lah Tuhan yang Maha Agung yang telah memberikan daku idea dan ilham itu untuk dititipkan pesanan tersebut pada insan ini.
Nasuha menggenggam erat tanganku lalu dicium.
"Terima kasih kak.! Terima kasih sebab dah buat Su sedar akan hakikat semua ni."
"Insya-Allah, kita sama-sama doakan ye akan memiliki cinta itu. Cinta abadi dan hakiki berpaksikan redha Ilahi. Amin..."
"Amin ya Rabb." Dia turut menyambut doaku itu.
Dan aku yakini, malaikat yang bersama-sama dengan kami pada petang itu juga turut sama mengaminkan doa tersebut.
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami dari isteri kami dan keturunan kami menjadi penenang hati kami dan jadikan kami imam bagi orang-orang yang bertakwa." (Al-Furqan:74)
Sekian, tamat.
p/s: "Duhai muslimah yang dikasihi Allah S.W.T tidak perlu gusar dan mengeluh andai dirimu masih belum dilamar. Teruslah 'mensolehahkan' dirimu, teruslah bermujahadah menjadi hamba-Nya yang terbaik, yakinilah dengan janji-janji Tuhan, jangan pernah berhenti berdoa dan berharap kepada-Nya. Yakinilah, suatu hari kelak kamu kan memperoleh imam yang terbaik buatmu, sebaik dan seindah akhlakmu jua."
-Artikel iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan