Ya Allah

Memaparkan catatan dengan label Inspirasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Inspirasi. Papar semua catatan

Rabu, 6 Jun 2012

Cemburu Dan Bidadari

Sumber : Selatan Online


“Ustaz, boleh tak kalau di syurga nanti, saya tak nak suami saya ada bidadari?”

Soalan ini pernah dikemukakan oleh seorang wanita (entah datin mana tah), sewaktu sesi soal jawab dalam satu kuliah (kalau aku tak silap, oleh Ustaz Dato Abu Hassan Din Al-Hafiz), pada sekitar awal 90-an.

Jawapannya nanti dulu. Aku nak bincang hal yang lebih penting.

Datin tersebut wajar diberi ucapan syabas kerana berani menyuarakan apa yang terbuku di kalbu ramai wanita. Tapi pasti kebanyakannya tak tergamak nak luahkan perasaan tu.

Mmm..nampaknya sampai begitu sekali kaum wanita ni meluat dengan bidadari syurga. Aku guna perkataan ‘meluat’ sebab aku rasa inilah istilah yang paling sopan. Mungkin ada yang sampai rasa benci bila mendengar perkataan ‘bidadari’, aku tak nafikan.

Apa puncanya sampai jadi macam tu?

Penjelasan yang paling mudah, sebab cemburu.

Penjelasan yang lebih mendalam; sebab wanita sebegitu menyangka bahawa suaminya adalah MILIK mutlak si isteri. Sebagaimana miliknya terhadap kereta Mercedesnya dan rumah banglonya. Tak mahu KONGSI dengan orang lain.

Aku pernah menghadiri majlis ilmu yang dianjurkan satu jemaah tabligh. Ustaz yang sedang memberi amanat kepada bakal-bakal da`ie itu ada menyebut, “Jangan sekali-kali ceritakan mengenai bidadari apabila anda sedang membicarakan tentang nikmat syurga di khalayak yang ada wanita menghadirinya. Dikhuatiri jika anda tidak bersedia dengan ilmu yang cukup, majlis ilmu itu akan hanya menimbulkan rasa benci di kalangan wanita yang masih lemah imannya..”

Fuhh~! Sampai begitu sekali rupanya. Dahsyat…

Aku tak sangka sampai begitu sekali, hingga ‘pantang’ disebut tentang bidadari di depan wanita.

Tapi..Dalam Al-Qur’an kan bidadari disebut tanpa berselindung?

Ohoho…mungkin tak apa la sebab kebanyakan wanita di luar sana tak faham pun bila mendengar atau membaca Qur’an.

Habis, nak biarkan macam tu je? Biarkan je wanita ‘bermusuh’ dengan bidadari? Tak ada cara nak ‘mendamaikan’ dua golongan ni ke?

Biar aku beritahu apakah jawapan ustaz yang awal tadi.

“Di syurga nanti, selagi puan tak berenggang dengan suami puan, suami puan seakan-akan tak nampak pun bidadari. Tak perlu lah puan risau sangat. Yang penting sekarang, usahakan agar puan bersama suami dapat menjadi ahli syurga. Kalau isteri terpaksa masuk neraka buat sementara, dan suami yang masuk syurga dulu, saya tak jamin la bidadari tak ganggu dia..”

Padat dan bersahaja jawapan yang diberikan ustaz, disambut gelak ketawa hadirin. Si datin tunduk sambil tersenyum kelat.

Hmm..kenapa suami tak nampak bidadari bila isterinya ada?

Sebab wanita ahli syurga kelak akan dijadikan oleh Allah sebagai ketua bidadari. Hebatnya kecantikan ketua bidadari ni, adalah ibarat cahaya bulan mengambang penuh di musim panas. Para bidadari yang lain pula ibarat bintang-bintang yang bertaburan di sekelilingnya. Hanya menyerlah tika bulan menyepi.

Maka apabila Ketua Bidadari itu hadir, si suami seolah-olah terpukau, dan bidadari yang lain seakan tak kelihatan, ataupun nampak kecil saja. Macam gadis jelita dikelilingi budak-budak tadika. Tentu saja fokus si suami takkan beralih dari melihat isterinya.

Hebat kan? Tapi macam mana kalau tiada bidadari langsung? Kan lagi bagus kalau tiada saingan?

Tidak juga.

Andai tiada bidadari, maka cantiknya Ketua Bidadari umpama bulan penuh di langit yang kosong. Kejelitaannya jadi kurang menyerlah kerana dia cantik sorang-sorang, tak ada siapa yang kurang dari dia, jadi pada siapa dia nak dibandingkan? Pada jiran di mahligai bersebelahan yang jaraknya sejauh mata memandang?

Wahai wanita penghuni syurga; anda sama cantik saja dengan Ketua Bidadari yang lain. Tak berapa seronoklah. Anda hanya paling cantik di mata suami anda. Begitu juga Ketua Bidadari yang menjadi jiran anda, tercantik di mata suaminya.

Satu perkara lagi, para bidadari syurga adalah penghuni asal yang telah Allah tempatkan di situ. Mereka penduduk asal syurga. Tak bolehlah nak halau mereka pula. Nanti mereka mengadu pada Allah. Mereka tidak pernah berbuat dosa, taraf mereka seakan malaikat yang sentiasa makbul doanya. Cuma mereka ini Allah kurniakan nafsu sebagaimana manusia. Tetapi nafsu mereka bersih (tidak takabbur terhadap Allah) dan tidak terhijab.

Dalil tentang mereka mempunyai nafsu, dalam surah Al-Waqi`ah ada ayat yang berbunyi `uruban atraaba, yang apabila diterjemahkan bermaksud: “sentiasa merindui (suami mereka yang berada di dunia) dan muda belia usia mereka”.

Di dalam bahasa Arab, kalimah `uruban juga bermaksud berahi berpanjangan. Dalam istilah yang agak kurang sopan (minta maaf), mereka ini sentiasa merindui jimak. Saya mohon maaf sekali lagi, tapi wanita dengan sifat sebeginilah yang diidamkan oleh hampir semua lelaki. (ah..aku rasa bukan HAMPIR semua, tapi memang SEMUA lelaki normal macam tu).

Tentang pengertian kalimah atraaba pula, nantilah bila ada masa yang sesuai aku huraikan dalam artikel yang khusus tentang bidadari..for guys only. ;-j

~~~

Baiklah. Anda dah nampak, cara untuk mengelakkan suami anda dari melayani bidadari, ialah dengan sentiasa ada di sisi suami. Senang saja bukan? Barulah bidadari lain tak ‘kacau daun’.

Betul?

Tapi adakah anda pasti?

Kita rujuk sebuah hadith yang menceritakan tentang keadaan penghuni syurga; 

Para Sahabat bertanya, adakah penghuni syurga melakukan jimak, dan bagaimanakah keadaan mereka? Dijawab oleh Rasulullah, “Benar. Oh, sungguh hebat sekali. Tenaga dan kenikmatan mereka Allah gandakan kepada seratus, dan mereka sekali pun tidak akan merasa letih.” ~au kama qaal

Hmm. Maknanya, kalau Ketua Bidadari tak mahu berenggang dengan suami, maka alamatnya tak keluar dari bilik la. Layanlah sampai dia puas.

“Tak kisah, janji dia tak layan bidadari..” mungkin itu jawapan seorang wanita.

Saya beritahu lagi; Ahli syurga juga tidak tidur, kerana terdapat hadith yang menyatakan bahawa “tidur itu saudara mati, maka ahli syurga tidak memerlukan kepada tidur, tidak mengantuk, dan tidak letih, lapar, atau dahaga..”. (au kama qaal)

Jenuh la kali ni tak turun-turun dari katil. Sanggupkah anda? Berapa minggu anda sanggup? Berapa tahun? Berapa dekad? Berapa kurun?

Jika di hati anda terdetik rasa bosan, para bidadari di luar bilik akan mengetuk pintu sambil bertanya bilakah gilirannya akan sampai. “Ketua! Biar kami pula ambil alih!”

…Mungkin itu yang mereka kata.


“Biarlah diorang menunggu kat luar..aku takkan tinggalkan suami aku!” Mungkin ada wanita yang berfikir begini.

Izinkan saya bertanya lagi; “Tak nak pergi shopping ke?” ; )

“Eh, shopping? Shopping apa? Kat mana?”

Mafhum daripada beberapa hadith yang mutawatir, Pada setiap Jumaat Allah adakan suatu ‘pasar’ di syurga. Di pasar inilah, ahli syurga diberi nikmat terbesar antara segala nikmat di syurga, iaitu diizinkan melihat kepadaNya. Tiada satu pun ciptaanNya yang mengatasi keindahan Sang Pencipta, Rabbul Jalil yang bersifat Al-Jamiil.

Dan di ‘pasar’ syurga inilah Allah sediakan segala pakaian, makanan, dan perhiasan (barang kemas dan aksesori) yang berbagai-bagai rupa, beraneka warna dan bentuk.

Ahli syurga cuma perlu melihat kepada contoh ‘produk’ yang dipamerkan, niatkan “Aku mahu yang ini!”; maka dengan serta-merta benda itu sudah dipakai di tubuhnya. Boleh juga meminta seperti itu apabila terlihat ada ahli syurga yang lain, memakai sesuatu yang menarik perhatiannya.

Kenapa perlu ada pasar? Kan boleh minta saja dari dalam bilik?

Perlunya ada pasar ini kerana ahli syurga ketika itu dah tak tahu apa lagi yang mahu diminta, kerana terlalu lama dan banyaknya nikmat yang diperolehi mereka .

Ibarat anda dah dapat semua file/software yang anda ingini, sampai anda tak tahu nak download software/file apa lagi di internet. Dah tak tahu nak ’search’ apa, sampai termenung di depan superkomputer yang terhebat dan terlaju di dunia, milik anda. Lebih kurang macam tu la ibaratnya.

Maka di ‘pasar’ syurga inilah terdapat pakaian dan barang kemas serta aksesori wanita (dan lelaki) dalam ‘rekabentuk terbaru’…’latest design’ kata sesetengah orang. Sebab itu ahli syurga tidak akan merasa jemu.

Dan apa yang paling hebat, semua yang ada di pasar ini adalah PERCUMA! 

Ibarat Ivana Trump pergi shopping di HyperMall milik ayahnya yang asyik pecat orang (”you’re fired!”). Tapi di syurga pastinya berjuta-juta-juta kali lebih mewah. Dan anda kekal muda selama-lamanya, tak macam minah saleh tu…

Di pasar syurga tu, semua benda yang menyenangkan hati anda boleh didapati. Niat saja nak pakaian baru, anda akan tiba di Department Pakaian Wanita.

“Handbag LV (Louis Vuitton) ada ke?” ..cheh. Ada sorang minah yang baca artikel ni boleh terfikir nak tanya camni…

Begini sajalah. Biar saya bacakan mafhum sebuah hadith lagi. “Jannah itu ialah satu kawasan yang tersangat luas. Terdapat lembah, sungai, pohon, dan bukit. Tanah di tengah-tengahnya yang paling tinggi, dan Al-Firdaus berada di tempat yang paling tengah dan paling tinggi”.

belum habis lagi..ada sambungan hadith ni;

“Keseluruhan syurga itu terdapat seratus tingkat. Pada tingkat yang terendah dan pertama, kesemua sudu senduknya, gelas pinggannya, kerusi mejanya diperbuat daripada perak. Tingkat yang kedua, semua sudu senduknya, gelas pinggannya, kerusi mejanya daripada emas; pada tingkat yang ketiga, sudu senduknya, gelas pinggannya, kerusi mejanya daripada yaqut, lu’lu’ dan zabarjad (batu-batu permata yang mahal), dan pada sembilan puluh tujuh tingkat lagi hanya Allah yang mengetahuinya. Jarak antara satu tingkat dengan tingkat yang lain adalah sejauh jarak langit dan bumi.”

Rasulullah hanya sempat meninjau tiga tingkat yang pertama sahaja sewaktu isra’ dan mi`raj.

Syurga tingkat pertama yang terendah adalah untuk ahlul fitrah, manusia yang tidak pernah beriman tetapi seruan tauhid tidak pernah sampai kepada mereka ketika hidup di dunia dahulu. Mereka diizinkan masuk ke syurga setelah selesai menjalani qisas di mahsyar, jika mereka ada menzalimi sesama mereka. Inilah tanda betapa Maha Pemurahnya Allah Yang Maha Adil, tidak menzalimi seorangpun hambaNya.

Tingkat pertama ini juga adalah untuk para muallaf yang hanya sempatmengucapkan syahadah tanpa satu pun amalan baik, dan tiada satu pun kalimah Allah yang sempat dipelajarinya.

Maka sekiranya kita umat Islam ini berjaya ke syurga, tempat kita adalah bermula dari tingkat yang kedua, atau lebih tinggi lagi. Tingkat kedua, barang-barang perkakas dapur serta perabutnya diperbuat daripada emas.

Saya tanya; Di dunia sekarang (di bumi) ini, adakah pakaian dan barang kemas kita diperbuat daripada bahan yang serupa dengan bahan membuat perabut dan peralatan dapur?

Anda tahu jawapannya ialah tidak. Bahan untuk pakaian dan perhiasan kita lazimnya mestilah lebih mahal daripada bahan membuat perabut dan perkakas dapur.

Ertinya, bila sudu dan meja pun diperbuat daripada emas, agaknya apakah bahan yang jadi pakaian dan barang kemas ahli syurga? Sudah tentu lebih mahal daripada emas!

Ya. Bahan dan unsur yang lebih mahal itulah yang dibuat pakaian ahli syurga..termasuk juga kasut tumit tinggi dan handbag (jika anda mahu, pasti ada!), termasuk juga barang kemas yang ada di Pasar Syurga tu.

Ketika itu jika anda ternampak handbag LV dari alam dunia, mungkin anda akan terasa jijik nak menyentuhnya macam tengok tahi ayam. Mana ada kelas! Emas pun setakat jadi jug air je..Gelas minuman pun dibuat daripada berlian (kalau anda menghuni syurga tingkat atas sikit).

Hm..Di pasar yang bagaikan real-life catalogue ini, semuanya lebih mahal dari perkakas dan pinggan mangkuk anda. Terlalu banyak pilihan. Shopping la sebanyak mana yang anda mahu. Tak perlu trolley. Kalau anda nak suruh bidadari bawakan barang yang anda shopping itu pun, mereka pasti gembira dapat membantu.

Janganlah lupa pula..para bidadari itu juga khadam anda yang sangat suka berkhidmat. Anda kan ketua mereka?

Ingat ni, kesemuanya anda tak perlu bayar! Bayarannya telah dilangsaikan dengan keringat, darah dan air mata anda ketika di dunia dahulu.

Tapi kalau nak dapatkan ‘design’ terbaru tu, kenalah keluar dari rumah (istana) dan tengok sendiri di pasar Jumaat. Di pasar ini juga ahli syurga akan bersosial, bertemu rakan lama dan saudara mara.

Berapa luas pasar tu? Jika anda terbang menaiki buraq selama sehari pun belum habis melihat keseluruhan bahagian ‘pasar’ itu. (kalau naik kenderaan yang lebih laju, anda tak nampak apa-apa sebab laju sangat,mengatasi kelajuan cahaya). Dan sudah tentu suami anda pun nak pergi ke Pasar Jumaat itu juga untuk melihat Allah Rabbul Jalil. Ajaklah suami shopping sekali!

Setiap minggu, akan ada design terbaru yang boleh anda dapati. Setiap minggu juga anda boleh datang shopping di pasar ini. Sampai tahun depan, kurun hadapan, alaf hadapan…sampai bila-bila. Tiada had usia di syurga…

Soalan terakhir saya: Yang mana lebih menyeronokkan bagi anda; shopping dengan suami, atau pergi shopping bersama bekas teman-teman rapat, rakan sekolej (atau rakan serumah) anda dahulu?

...dan mungkin pada kurun hadapan, suami anda nak pergi memancing di sungai syurga bersama bekas rakan sekampungnya…atau mungkin dia cuma nak ‘berehat di rumah’ saja.. ;-j

Dah la..tak payah risau. Perasaan cemburu tu kerana disebabkan kejahilan tentang fitrah lelaki dan tak faham kehendak suami. Ahli syurga tidak ego dan cemburu buta. Di syurga tiada hasad dengki dan tiada sifat takabbur. Qaalu salaaman-salaama~

Lelaki dan wanita saudaraku sekelian.. MARILAH MENUJU KEJAYAAN !!!



Ahad, 18 Mac 2012

Umpama pohon yang tidak gugur daunnya


Bismillah,

Ðaripada Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya ada satu pokok yang tidak gugur daunnya dan ia adalah perumpamaan bagi seorang Mukmin.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Ðalam hadis yang dipetik di atas, Rasulullah SAW telah membawakan suatu kiasan dengan mengumpamakan orang Mukmin dengan pohon yang tidak gugur daunnya. Pohon yang dimaksudkan itu ialah pohon kurma. Menurut al-Mubarakfuri dalamTuhfat al-Ahwazi, sebagaimana tidak gugur daun daripada pohon kurma, begitulah kekuatan dan ketahanan yang tidak luntur daripada orang Mukmin.

Selain itu, seorang Mukmin dapat memberikan manfaat yang berterusan sama ada untuk dirinya sendiri ataupun orang lain. Begitulah juga pohon kurma yang dapat dimanfaatkan secara keseluruhannya sama ada pohon, buah, pelepah dan sebagainya. Kiasan yang diutarakan oleh Rasulullah SAW ini telah menggambarkan dengan lebih jelas lagi kedudukan orang Mukmin. Apatah lagi apabila diumpamakan orang Mukmin itu seperti pohon kurma, maka dengan mudah sekali dapat difahami kerana orang Arab sememangnya sudah mengetahui faedah-faedah yang terdapat pada pohon kurma tersebut.

Menurut maklumat daripada Wikipedia, pokok kurma atau tamar (dikenali dalam bahasa saintifik sebagai Phoenix dactylifera) merupakan sejenis pokok palma dalam genus Phoenix, ditanam secara besar-besaran untuk mendapatkan buahnya. Oleh kerana sejarah penanamannya yang lama, taburan asalnya tidak diketahui, tetapi mungkin berasal dari suatu tempat di gurun Afrika Utara dan mungkin juga Asia Barat Ðaya. Kurma telah menjadi makanan harian bagi masyarakat Timur Tengah sejak beribu-ribu tahun yang lampau.

Kebanyakan pokok kurma boleh didapati di negara-negara Arab dan mempunyai pelbagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Makkah dan Madinah yang dikatakan terdiri daripada berpuluh-puluh jenis. Ðalam kalangan penduduk di negara-negara Arab sendiri, kurma adalah makanan utama mereka. Kini kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari di seluruh pelusuk dunia termasuk di negara kita, terutamanya menjelang bulan Ramadan.

Ðaya tahan Mukmin

Apabila Rasulullah SAW mengumpamakan orang Mukmin seperti pohon kurna, maka sewajarnya dilihat keadaan pohon kurma itu sendiri agar hadis di atas dapat difahami dengan lebih jelas. Selain itu, hadis ini juga memuji golongan Mukmin yang mempunyai ‘daya tahan’ yang tinggi umpama daun-daun kruma yang tahan lasak dan tidak mudah gugur.

Ðaya tahan golongan Mukmin dapat disaksikan melalui mafhum hadis berikut: “Sungguh hebat seseorang Mukmin itu. Seluruh keadaan yang menimpa dirinya dianggap sebagai suatu kebaikan bagi dirinya. Keadaan seperti ini tidak akan ditemui pada sesiapa pun, kecuali orang yang beriman. Jika dia mendapat kesenangan lalu dia bersyukur, maka perkara itu akan mendatangkan kebaikan bagi dirinya. Jika dia mendapat kesusahan lalu dia bersabar, maka perkara itu akan mendatangkan kebaikan bagi dirinya.” (Hadis riwayat Muslim)

Ðaripada hadis di atas, jelas menunjukkan daya tahan seseorang yang beriman kepada Allah. Ðalam apa jua situasi, imannya sentiasa teguh dan mantap. Ketika mendapat nikmat, dia tidak mudah bongkak dan lupa diri, sebaliknya kembali kepada Allah SWT dengan bersyukur kepada-Nya. Manakala apabila ditimpa musibah pula, mereka tetap bersabar dan redha dengan ketentuan Ilahi serta sentiasa berusaha memantapkan lagi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Teladan resmi pohon kurma

Manusia yang beriman kepada Allah SWT dapat diumpamakan dengan pohon kurma dalam beberapa sudut iaitu :

1 – Akar kurma yang teguh = Iman yang mantap

Akar pohon kurma tegak berdiri dengan teguh dan mantap walaupun ditiup angin. Keadaan ini berbeza degan pohon-pohon lain yang mudah tercabut akarnya jika digoyang oleh rebut atau angin yang kuat. Hal ini dapat disamakan dengan iman yang wujud dalam hati seseorang yang beriman itu. Iman yang bertapak kukuh dalam hati tidak akan mudah goyah walaupun pelbagai ujian datang menimpa. Seorang Mukmin memiliki tiga jenis kesabaran yang terkumpul pada dirinya, iaitu sabar dalam menunaikan ketaatan kepada Allah, sabar dalam meninggalkan kemaksiatan dan sabar menghadapi takdir yang menyedihkan.

Allah berfirman yang bermaksud, “Ðan sungguh akan Kami berikan cubaan (ujian) kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Ðan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar, (iaitu) orang yang ditimpa musibah, mereka mengucapkan: ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji‘un.’” (Surah al-Baqarah 2 : 155-156)

Keteguhan dan kemantapan iman dapat disaksikan dengan begitu jelas dalam peristiwa Perang Mu‘tah. Tentera Islam pada mulanya dipimpin oleh Zaid bin Harithah. Apabila Zaid terkorban dan syahid, kepimpinan tentera diambil alih pula oleh Ja’far bin Abi Talib. Setelah Ja’far pula terkorban, maka Abdullah bin Rawahah pula mengambil alih kepimpinan tentera sehinggalah beliau sendiri turut terkorban dan syahid.

Selepas itu, tentera-tentera Islam berbincang sesama sendiri untuk melantik ketua perang yang baru. Mereka bersetuju untuk melantik Khalid al-Walid. Lalu, Khalid merancang strategi yang berkesan sehingga berjaya mengkucar-kacirkan tentera musuh. Akhirnya, tentera musuh yang ramai itu bertempiaran melarikan diri.

Sesuatu yang hebat dalam peperangan ini ialah tentera Islam yang hanya berjumlah 3,000 orang berjaya mengalahkan musuh yang berjumlah 200,000 orang. Inilah kehebatan dan keteguhan iman yang dimiliki oleh para sahabat, membuatkan mereka tidak goyah dan gentar dalam menghadapi apa juga situasi demi menegakkan kalimah Allah SWT.

2 – Khasiat kurma = akhlak yang manis

Buah kurma mempunyai khasiat yang banyak di samping rasanya yang manis dan lazat. Kajian saintifik mendapati kurma adalah sejenis buah yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potassium, vitamin A dan C. Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium yang sesuai untuk wanita sama ada semasa hamil dan selepas bersalin. Hal ini berasaskan kepada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada ibu Isa iaitu Maryam binti Imran, supaya memakan buah kurma ketika beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin.

Ini sebagaimana yang disebutkan dalamsurah Maryam ayat 25 yang bermaksud, “Ðan goncangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan ke atasmu kurma yang masak.”

Ði samping itu, kajian juga mendapati bahawa kurma dapat mengubati penyakit sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, lesu dan barah usus besar, membantu merangsang selera makan, menguatkan ingatan, melawaskan serta menambahkan tenaga seksual. Jadi, jelas sekali buah kurma mempunyai manfaat yang banyak.

Hal yang demikian adalah sama seperti orang yang beriman kepada Allah SWT. Akhlak yang dipamerkan oleh orang yang beriman merupakan akhlak terpuji. Perkataan yang diucapkan tidak menyakiti orang lain malahan menyenangkan. Orang beriman akan sentiasa memastikan dia dapat memberikan manfaat kepada orang lain ketika hidup di dunia seperti menolong orang yang berada dalam kesusahan, menziarahi orang sakit, menghubungkan silaturahim sesama manusia dan sebagainya.

Buah kurma mempunyai rasa yang manis. Hal ini sama juga dengan keimanan yang mempunyai rasa yang manis dan lazat. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang sahih bermaksud, “Tiga perkara, jika seseorang memilikinya nescaya merasai manisnya iman; iaitu menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada yang lainnya dan mencintai seseorang hanya kerana Allah serta benci kembali kepada kekufuran sebagaimana benci dilemparkan ke dalam api neraka.” (Mutafaq ‘alaih)

3 – Memberi manfaat

Seluruh bahagian pohon kurma itu dapat dimanfaatkan. Buahnya manis dan berkhasiat, batangnya dapat dijadikan sebagai tiang dan pelepahnya dapat dijadikan sebagai atap rumah. Ðaunnya pula dapat dijadikan bakul dan pelbagai macam alat kelengkapan rumah seperti tikar dan lain-lain. Justeru, kita dapati bahawa masjid yang dibina oleh Rasulullah SAW semasa Baginda berhijrah ke Madinah telah menggunakan sepenuhnya pohon kurma sebagai tiang yang kukuh serta atap yang dapat melindungi daripada panas dan hujan.

Hal yang demikian samalah seperti seorang Mukmin yang dapat memberi manfaat dalam segala hal. Seseorang Mukmin itu apabila bergaul dengan rakan dan teman hanya akan menzahirkan akhlak yang mulia, adab budi pekerti yang luhur, muamalah yang baik, memberikan kebaikan dan tidak mengganggu serta menyakiti mereka dengan umpatan, cacian, fitnah dan sebagainya. Seseorang Mukmin itu memiliki sifat sopan dan lembut seperti manis dan lembutnya buah kurma yang masih segar.

4 – Makin panjang usia makin berkat

Semakin panjang umur pohon kurma, semakin banyak gunanya dan semakin baik buahnya. Ðemikian halnya dengan orang Mukmin. Semakin panjang umurnya, sebamin baik dan soleh pula amalannya. Imam at-Tirmidzi meriwayatkan bahawa seseorang bertanya kepada Rasulullah SAW yang bermaksud, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang terbaik?” Rasulullah menjawab, “Orang yang panjang umurnya dan baik amalannya.”

Seseorang Mukmin itu merupakan manusia hebat yang akan mendapat kebaikan hidup di dunia dan di akhirat. Manfaat yang boleh didapati daripada orang Mukmin adalah seumpama manfaat yang boleh diambil daripada keseluruhan pohon kurma, sama ada pokoknya, buahnya, pelepahnya, daunnya dan apa juga yang ada pada pohon kurma tersebut.

Sumber : Mohd Sukki Othman dalam Solusi ISU#32

Rabu, 7 Mac 2012

Ubat Mujarab Stress


Hidup ini sama seperti melalui jalanan menuju ke destinasi yang ditetapkan. Sesekali kita tersesat dalam mencari destinasi sebenar. Kadang jalan yang dilalui penuh liku dan simpangnya. Sesekali kita akan bertemu dengan lubang yang besar. Paling tidak jambatan yang kita mahu kita seberangi roboh sedangkan destinasinya sudah semakin hampir.  Tekanan yang dihadapi menjadikan kita runsing.

Islam yang indah dengan isinya memberikan ubat yang mujarab bagi menghadapi tekanan yang datang dalam kehidupan.  Lantas ubat ini menjadikan kita lebih tenang menghadapi  segala ujian dalam hidup.  Hati akan lebih tenang sekiranya kita kembali kepada Allah. Apa juga yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata bagi mendapatkan keredaan Allah.

Tip menghadapi Stres
Terdapat beberapa tip yang boleh diamalkan bertujuan bagi mengurangkan tekanan: 

  1. Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
    Jiwa kita akan menjadi tenang jika membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan sebarang pekerjaan. Tugas yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan.

  2. Al-Quran jadikan amalan
    Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.
  3. Solat Sunat
    Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.

  4. Selalu berdoa kepada Allah
    Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.

  5. Bersangka baik dengan Allah
    Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba-Nya. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.

  6. Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
    Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.

  7. Amal diet dengan disiplin yang kuat
    Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.

  8. Hargai kebolehan diri sendiri
    Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

  9. Cintai diri sendiri
    "Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain". Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.